DARI BUNTUT PULAU KE PESAGI
DUA tahun aku bagaikan sasau dek penangan cinta pertama yang terkalang. Sejak Nie dipaksa menerima pinangan saudara terdekatnya, kami langsung terputus hubungan. Menurut Nie, ibu bapanya sangat membenciku. Pelik juga. Kami tidak pernah bertemu. Hasratku untuk menemui ibu bapanya di Kampung Buntut Pulau dihalang oleh Nie sendiri. Sepanjang mengenali Nie, aku tidak pernah dating pun dengannya. Kami hanya bertemu selepas peperiksaan tahun akhir tamat. Kami menapak dari asramanya di Seksyen 16/2, PJ menuju ke kampus. Kami sekadar berbual mesra di Fakulti Pendidikan UM.
“Kita orang miskin Sir…,” pujuk Paman Bakar sewaktu kami mengusahakan tanaman jagung di Solok Ayer Hitam.
“Jika kita sayangkan seseorang, kita pasti mahu lihat dia bahagia,” nasihat abangku Nordin sebelum beliau berlepas ke UK menyambung pengajian di Nottingham University.
Tatkala Nie posting di Pekan, aku masih belum berkerjaya tetap. Stigma penganggur itulah barangkali membelenggu fikiran ibu bapanya. Pelbagai usaha kulakukan. Rezeki milik Allah SWT jua.
Nie mengambil bidang Sains Pendidikan mengkhusus Matematik dan Fizik. Justeru, pekerjaan sedia menanti. Manakala aku di bidang Sains mengkhusus Matematik. Kerja cari sendiri.
Tahun 1989, internet tidak wujud lagi di Malaysia. Mohon kerja bertulis, lampir CV, lalu pos. Tunggu panggilan temu duga.
“Hari ‘tu ‘kat rumah abah ada panggilan telefon daripada PNB,” ujar abang iparku. Aku telah pun lulus IQ Test sebelumnya. ‘Kenapalah tiada siapa yang beritahu aku?’ bisikku kesal.
Punyalah mencabar. Rumah emak tiada telefon. Sehingga kini aku merasa musykil, kenapa abang-abang dan kakakku tidak masukkan talian telefon di rumah emak. Setiap kali memohon pekerjaan, aku meletakkan nombor telefon rumah Pak Lang Daud, Bilal Hashim, dan Abang Rahman Chicago untuk dihubungi.
Setelah menanam jagung beberapa bulan, aku menjadi guru sandaran di SDHTK, Alor Gajah. Kemudiannya, ITM (kini UiTM) Cawangan Melaka di Jalan Hang Tuah menawarkan jawatan pensyarah sambilan. Walaupun bekerja sambilan, namun pendapatan mengajar di sekolah dan ITM melebihi dua ribu ringgit sebulan. Lantas, aku memasang talian telefon di rumah emak.
‘Alamak, dengan siapa aku ‘nak kahwin ‘ni?’ detak hati kecilku sebaik menyorong motorsikal Suzuki TRS ke bawah rumah. Dekat jam 11:00 malam baru sampai di rumah selepas kelas.
Nie sudah berkahwin agaknya. Aku tidak dijemput. Anak gadis di kampung pula kebanyakannya berkahwin awal. Aku tiada awek. Medsos seperti FB, Instagram, Twitter, tak muncul lagi.
“Petang tadi Pak Cik Mad datang. Dia beritahu saudara kita di Pulau Sebang berkunjung ke rumahnya,” kata emak suatu malam.
“Anak Mak Cik Kijing ke?”
“Ya, mereka berhajat ‘nak pinang kamu,” emak tersenyum.
“Biar betul. Pandai emak bergurau ya,” balasku gugup.
“Budak ‘ni, orang cakap betul-betul, dia kata bergurau pulak.”
Suatu hari, aku ke pejabat pos Alor Gajah tempat ‘si dia’ bertugas. Aku curi-curi melihatnya tanpa disedari. Kami saling tidak mengenali. Tiada chemistry.
Hari berlalu sepi begitu saja. Emaklah yang paling memahami diriku. Tidak membangkitkan hal itu lagi.
Aku menyarung jaket lalu bergegas ke bandar Melaka.
“Nanti belikan tapis sayur satu,” pesan emak.
“Insya-Allah mak.”
Setibanya di bazar tradisional Kampung Jawa, tanpa menanggalkan helmet aku melilau mencari-cari kedai barangan peralatan dapur.
“Tanglung?” tanya seorang gadis juru jual di situ.
‘Awek ‘ni, aku kata tapis sayur… dia sebut tanglung pula.”
Sempatlah juga aku berikan nombor telefon rumah emak. Malamnya, Intan menelefonku. Kami berborak-borak kosong saja. Bertanya khabar. Sebenarnya aku sudah tawar hati untuk bercinta lagi. Bukannya tiada mahasiswi ITM yang meminatiku. Pernah kuterima kad ucapan daripada secret admirer yang menyelitkannya di motorsikal. Malah yang selamba ajak keluar pun ada.
“Sir, hari Sabtu ‘ni free tak?” Terkejut beruk aku!
Rambutnya diwarnakan keemasan. Manakala pakaian, kasut, gincunya semua berwarna merah jambu. Hampir tergoda dibuatnya.
Ada juga pensyarah yang memancingku. Malah siap hantar aku pulang dengan Honda Prelude merahnya. Selepas mengajar di SDHTK, aku bergegas ke ITM bandar Melaka. Tiba di selekoh Kampung Sungai Petai, Vespa 150 Super bapa rosak pula. Terpaksa kutinggalkan di rumah berhampiran. Aku hitchhike. Alhamdulillah, seorang penunggang motorsikal sudi menumpangkan.
Lat dua hari, usai kelas Business Calculus, aku berjalan-jalan di deretan toko Jalan Hang Tuah.
“Minyak attar satu.”
“Eh, kamu yang ‘nak beli tanglung hari ‘tu ‘kan?”
“Kamu kerja ‘kat sini pula?”
Bermula dengan pertemuan kedua secara tidak sengaja di kedai Belweel itu, kami pun berkawan. Rupa-rupanya Intan budak mentah lagi. Baru 19 tahun. Sedangkan usiaku sudah 28 tahun. Paling mengujakan, dia orang Pahang. Subhanallah, cantik rancangan-Nya. Langsung aku teringatkan Nie yang tinggal di Temerloh.
“Kampung asal saya di Pesagi.”
“Di mana ‘tu?”
“Seberang Chenor. Kena naik sampan tambang seringgit.”
“Wah, adventure ‘tu!”
“Sekarang keluarga saya tinggal di Maran. Peneroka Felda.”
Suatu malam di hujung minggu, aku terserempak dengannya di public phone berdekatan kedai Tai Chong di Jalan Bunga Raya. Dia duduk di rumah saudaranya Tok Remah di tengah-tengah bandar. Kami langsung menapak ke bangunan Stadthuys lalu duduk berbual di bangku batu di situ.
“Eh, kaki awak bulat!” Aku terkesima melihat kakinya.
Pelik juga bila aku memikirkannya semula. Selalunya orang tertarik pada gadis berdasarkan kecantikan paras rupa. Sebaliknya aku tertawan dek sepasang kaki yang bulat.
Peringkat awal hubungan kami ada pasang surutnya. Kerap kali juga berbalah di gagang telefon. Aku yang bersikap hambar. Barangkali masih terkesan dek penangan cinta pertama yang tidak kesampaian. Rasa serba tidak kena.
“Bapa saya tak berapa sihat,” aku memecah sunyi. Intan tidak menunjukkan sebarang reaksi. ‘Budak mentah memang tak empuk,’ bisik hatiku. Kami menaiki jejantas menuju ke rumah Tok Remah. Neneknya yang dipanggil ‘Mak Abang’ baru tiba dari Pahang.
Aku singgah di surau Kampung Jawa menunaikan solat asar. Mohon petunjuk Allah SWT. Usai solat dan munajat, aku mengatur langkah menuju rumah Tok Remah. Dua sosok tersenyum manis menyambut kehadiranku di tangga batu rumah Melaka. Subhanallah.
“Bapa saya sakit. Abang-abang pula bertugas di Labuan, Kuching.” Tok Remah dan Mak Abang khusyuk mendengar.
“Saya dan Intan ke Shah Alam bertemu Elong, kemudian kami ke Maran berjumpa orang tuanya,” aku meyakinkan.
Disember 1991, aku merisik sendiri. Keesokannya aku pulang sendirian ke Melaka. Tersadai di Triang kala senja menjelang.
Mujurlah dipertemukan dengan seorang pemandu teksi India yang budiman menghantar aku pulang ke Melaka. Kisah ini telah kubaitkan lewat puisi, ‘Rumah Melaka Di Tengah Kota’.
Alhamdulillah, pada 1 Januari 1992 kami menjalin ikatan pertunangan. Kemudiannya aku dapat panggilan temu duga KPLI di MPPM (kini IPGM Kampus Perguruan Melayu), Durian Daun.
“Oi, darah manis! Hendak ke mana ‘tu?” Paman Bakar mengusikku ketika menunggu bas Salira di bawah pokok manggis.
“Ada temu duga.”
“Baguslah kamu naik bas. Tunggang motorsikal ‘ni bahaya.”
Sebaik sahaja turun bas berdekatan Masjid Fathur Rahman di Pengkalan Rama, aku mengatur langkah menuju MPPM dengan bersemangat. Sesekali hatiku bernyanyi-nyanyi tanpa seni kata.
“Amboi, senang hati nampak!” tegur seorang pengawal.
Aku tersengeh sambil bergegas ke blok pentadbiran.
“Kenapa kamu memohon kursus perguruan ini?”
“Minat. Lagi pun saya ingin berkongsi kaedah pembelajaran matematik secara santai dan bersahaja.”
“Apa kebolehan kamu selain daripada bidang matematik?”
“Saya telah hasilkan lebih lima puluh buah puisi. Matematik jadi indah dan harmoni dengan paduan seni susastera.”
“Namakan puisi penyair India yang menerima Nobel Prize?”
“Rabindranath Tagore… maaf saya terlupa puisi beliau.”
“Gitanjali!” Darah manisku berlagu di pepohonan nan meliuk.
Komentar
Tulis komentar baru