PETIR NAN BERDENTUM
DEMAM Woodstock Music and Art Fair yang diadakan di Bethel, New York pada 15-17 Ogos 1969 turut melanda seluruh dunia. Genre muzik Rock and Roll, fesyen pakaian, dan rambut yang panjang bagaikan merasuk generasi muda. Tempias pengaruhnya dirasakan juga di tanah air kita. Lagu-lagu genre Hard Rock, Country Rock, Soft Rock, Progressive Rock dan Blues/Jazz Rock menenggelamkan irama Pop Yeh Yeh. Di sana sini kedengaran lagu Smoke On The Water (Deep Purple), Hotel California (The Eagles), Ready For Love (Bad Company), Black Magic Woman (Santana), dan Satisfaction (The Rolling Stones). Malah fesyen seluar bell-bottoms dan gaya rambut panjang mula diperaga oleh anak-anak muda.
“Mana engkau beli rekod Bee Gees tu?” tanya Abang Mat sedikit teruja.
“Dekat Yee Hai Record,” balas abangku Ani sambil menghulurkan piring hitam tersebut.
“Kedai No. 61, Jalan Bunga Raya hala ke Toko Buku Abbas Bandung,” sambungnya lagi bila melihat sahabatnya bagaikan terpinga-pinga.
“Dekat Kok Kong Kedai Tukang Radio pun ada.”
Masih segar lagi dalam ingatan orang-orang kampung ketika Abang Mat ditangkap lewat tengah malam di rumah ibunya. Kemudian, terus dibawa semula ke kem tentera oleh Military Police (MP). Tidak lama selepas itu beliau dilepaskan semula. Abang Mat terus berhenti daripada navy. Khabarnya, beliau tidak berminat untuk berkhidmat sebagai pembantu chef di kapal. Barangkali tidak tahan didera semasa di kem latihan Woodlands agaknya. Di kampung, beliau bukannya duduk-duduk sahaja. Mahupun melahu ke hilir ke hulu sepanjang masa.
Bersama Abang Ari beliau mencari kayu api di darat Anak Ayer baruh rumah Nek Puteh. Tahun 1970-an mana ada LPG. Orang kampung memasak guna kayu api.
“Abang Mat selapak dahan getah. Sambil menetak beliau menyanyi lagu J. Mizan, ‘Hari Ini dan Semalam’ dengan langgam qasidah. Entah macam mana dahan getah ‘tu melantun lalu menghentak ibu jari kakinya. Pecah kuku.” Abang Ari bercerita melalui aplikasi WhatsApp.
Menurutnya lagi, “Bersama seorang lagi kawan, kami papah Abang Mat hingga ke rumahnya nun jauh di darat.” Tidak dapat aku bayangkan kesakitan yang ditanggungnya.
“Berminggu-minggu dia ‘tak keluar rumah. Katanya macam rasa ‘tak ‘nak hidup lagi. Punyalah sakit ibu jari kakinya hingga terlongkah kuku,” cerita Abang Ari lagi.
Carian di Internet telah menemukan aku dengan penyanyi asal lagu ‘Hari Ini dan Semalam’, iaitu Kumi Kaori dari Jepun yang menyanyikan lagu Kuchizuke Ga Kowai, diterbitkan pada tahun 1968. Selain J. Mizan, kumpulan Sixth Sense turut memporpularkan semula lagu tersebut pada era 2000. Berbanding yang lain, kebitaraan Abang Mat menyanyikannya mengikut irama qasidah!
Arwah bapa Abang Mat, Tok Agung merupakan pengurus tapak projek penambakan sawah untuk binaan landasan kereta api yang menghubungkan stesen Pulau Sebang dan stesen bandar Melaka. Emak pernah bercerita betapa seronoknya apabila melalui laman rumah Tok Agung. Habis semua kuih yang dijaja emak diborongnya! Rumah Melaka berbandung dua tersergam di atas bukit. Dari bandau tepi sawah, emak melalui denai bertangga-tangga dengan hiasan bunga nan cukup indah di taman. Lengkap dengan gazebo di sudut sebelah kanan. Di situlah Tok Agung mengajar anak-anaknya mengaji al-Quran dan asas agama menggunakan kitab kuning lama.
Suatu petang, sahabatku Ma’amor telah berjaya menangkap seekor burung pucong merah ketika kami bermain-main di halaman rumah Tok Agung. Ma’amor memang cekap melastik burung. Malah lastik sentiasa tersangkut di lehernya. Melihatkan keadaan burung yang teruk tercedera, Abang Mat mengambil keputusan untuk menyembelihnya.
“Engkau tak percaya aku boleh sembelih?” Abang Mat agak terkilan apabila melihat reaksi spontanku. Aku terkebil-kebil antara percaya dan tidak.
“Sembelih je bang,” Ma’amor mendesak.
Pada usia sekitar sebelas tahun aku menyangkakan bahawa penyembelihan haiwan hanya dilakukan oleh ustaz. Setidak-tidaknya mereka yang bersongkok atau berketayap. Abang Mat hanya berlengeng. Aku yang naif telah melukakan hatinya. Walhal beliau cukup terdidik semenjak kecil lagi dengan pengetahuan agama. Abang Mat tinggal di Kampung Kandang bersama bapa saudaranya Datuk Sheikh Haji Md Yunos bin Haji Mohd Yatim, Kadi Besar Melaka yang kemudiannya menjadi Kadi Besar Wilayah Persekutuan dan Mufti Melaka dari 1979 hingga 1996.
Beliau dimasukkan ke sekolah Inggeris di Banda Hilir. Seterusnya ke SMK (A) Sultan Muhammad. Justeru, penguasaan bahasa Inggeris beliau amat baik sekali. Malah beliau juga fasih berbahasa Arab. Bapanya meninggal di tanah suci sewaktu menunaikan fardu haji dengan menaiki kapal. Hajat ibunya mahu melihat beliau menjadi seorang ilmuan agama seperti adiknya Tuan Kadi itu, seorang lulusan Ijazah Al-Aliya (BA) dan Al-Alalamiah (MA) Jurusan Syariah dan Kanun dari Universiti Al-Azhar. Entah macam mana Abang Mat boleh masuk navy pula.
Saudara-mara sebelah ibunya juga boleh bertutur bahasa Arab. Tercengang-cengang orang kampung tatkala mereka bersembang dengan fasih di majlis kenduri kahwin. Malah mereka turut mendirikan madrasah dan sekolah pondok bak pesantren di tanah baruh. Penuntut madrasah tersebut datang dari segala pelosok Nusantara. Antaranya Tuan Haji Mustafa mantan imam di Masjid Kampung Kling, yang pernah mempelawaku ke rumahnya di Kampung Ketek pada tahun 1990 ketika zaman bujang dulu.
Abang Mat sangat baik dengan kanak-kanak. Beliau melayani kami seperti adik-adiknya sendiri. Sering mendidik kami supaya saling berbagi rezeki.
“Ini aku punyalah…” Budak-budak mana mahu mengalah.
“Nasir, ambil le buah tu,” Abang Mat hairan melihat aku tercegat saja.
Aku sengaja tidak mahu bergulut merebut buah jambu keling yang dibaling Abang Mat. Pokok yang lebat berbuah di baruh rumah Tok Agung itu belum masak semuanya.
Abang Mat baling lagi. Budak-budak berebut lagi.
“Hei… buah ‘tu aku ‘nak beri dak Nasir. Engkau ‘dah dapat banyak… cukup le!,” Abang Mat berebut bersama Ma’amor dan kanak-kanak lain.
Bukan tidak pernah aku bergomol dalam lumpur dengan Ma’amor dan budak-budak kampung berebutkan ikan. Sebaik sahaja traktor bergerak ke depan setelah berundur di sudut petak sawah, ikan haruan, belida, sepat lampam, keli menggeletik-geletik. Mana boleh tahan sekadar menengok saja. Tapi tidak berbaloi sebenarnya. Habis satu badan berlumur lumpur.
Kemarau panjang kali ini benar-benar menguji kami. Perigi hampir kering. Airnya jauh ke bawah. Pada tahun 1977 kemudahan paip air di kampung belum ada lagi. Kami mengandar air di perigi nun jauh di bawah bukit tepi sawah.
Petang itu, aku bersama adik dan emak merumput di petak sawah hujung berdekatan jalan kereta api lama. Musim mengubah anak benih sudah hampir tiba.
“Pergi mandi di sungai. Abang Ari kamu dengan kawan dia baru saja ke sana,” emak mengarahkan aku pergi dengan adikku Oyah sekali.
Setibanya di sungai baruh Tok Ayem, aku merasa teruja sekali. Pemandangan yang cantik bak sebuah delta dengan pasir memutih sepanjang sungai. Terasa seperti berada di tepian pantai. Kulihat Abang Mat dan kawan-kawannya sedang asyik terjun ala tarzan di selekoh agak dalam. Aku dan adikku Oyah mandi di tempat cetek. Suasana riuh-rendah diselangi dengan gelak ketawa semua yang mandi di situ.
“Tepi… Tepi… Aku nak terjun ‘ni!”
“Wah macam ‘kat Olimpik!”
Tiba-tiba Abang Ari memekik ke arahku, “Nasir… bawa adik balik! Hujan ‘dah ‘ni!”
Aku dan Oyah berlari di batas sawah menuju ke jalan kereta api lama. Hujan semakin lebat. Beberapa kali kami terjebur ke dalam sawah dek batas yang licin. Dari situ kami menelusuri pula batas sawah emak yang enam petak itu. Terasa jauh rasanya.
Sebaik-baik tiba di rumah, hujan petus diikuti oleh petir berdentam-dentum dan kilat memancar-mancar. Emak bilas kami dengan air dalam tempayan. Barulah hilang gelatuk. Tiba-tiba halilintar membelah bumi.
“Emak risau abang kamu tak balik lagi ‘ni.”
“Tadi abang suruh kami balik dulu.”
Emak tidak senang duduk mengenangkan Abang Ari yang terperangkap dalam hujan petus. Petir dan guruh lentam-lentum serta kilat sambar-menyambar menambahkan kegusarannya. Aku berdiri di sengkuap bersama emak sambil melihat ke arah baruh. Hujan memutih. Tidak nampak apa-apa pun di kejauhan sana.
“Emak perasan kelibat orang diusung di jalan kereta api lama sana.”
Aku terdiam. Punyalah cemas Allah SWT sahaja yang tahu.
Kulihat emak tidak putus-putus membaca doa dan memandang sayup penuh pasrah.
Sebaik-baik hujan sidang, gobau satu kampung yang Abang Mat meninggal disambar petir. Aku berlari ke rumah Tok Agung. Orang kampung sudah ramai berkumpul di halaman. Staf Klinik Kesihatan Durian Tunggal di atas sengkuap. Imam Haji Mohid dan saudara-mara terdekat ada di sekeliling Abang Mat. Akhirnya pegawai kesihatan memaklumkan bahawa Abang Mat telah pun tiada. Masing-masing tidak dapat menahan tangis.
Setelah 44 tahun berlalu, kisah ini kusingkap kembali sebagai iktibar. Aku menghubungi Abang Ari bertanyakan latar tragedi menyayat hati tersebut.
“Arwah terkena sipi di bahagian dada,” jelas Abang Ari melalui WhatsApp.
“Terasa macam dihentak dengan beroti,” sambungnya lagi yang turut terkena imbasan di bahagian tengkuk.
“Kami bertiga sama-sama tercampak,” ujar Mail anak saudara Abang Mat yang turut berada bersama mereka ketika kejadian. Menurutnya lagi, “Walaupun hanya imbasan, namun gegak-gempitanya bagaikan runtuh langit.”
Kata orang cuma terdapat sedikit kesan lebam di bahagian dada Abang Mat. Masih kuingat lagi wajah jenazahnya yang cantik bersih. Tenang sekali. Abang Mat segak lagi tampan orangnya. Dengan rambut bergelombang paras bahu dan jambang kembang di bawah, gadis mana yang tidak tergila-gilakannya. Kini baharu aku perasan yang Abang Mat seiras dengan Ian Gillan penyanyi utama Deep Purple yang melontarkan lagu Smoke On The Water. Hingga kini setiap kali terdengar lagu ini, aku pasti teringatkan Abang Mat.
“Kenapa rahsiakan?” Berjurai air mata Abang Ani.
“Emak ‘tak mahu kamu bersedih seorang diri di sana.”
Ketika kejadian, Abang Ani berada di UK menjalani latihan navy. Kemudiannya, mereka membawa pulang kapal frigat HMS Mermaid ke tanah air. Abang Mat bertanggungjawab menggalakkan Abang Ani menyertai navy. Betapa mulia hatinya. Biarpun beliau lari daripada navy tetapi tidak pernah memburuk-burukkan sayap penting pertahanan negara itu. Malah mendorong dan sentiasa memberi semangat kepada abangku dan lain-lain anak muda agar menyertai navy. Semoga Allah SWT sentiasa mencurahkan rahmat ke atas roh Abang Mat. Amin ya Rabb.
Komentar
Tulis komentar baru