GADIS DI JENDELA RUMAH AGAM
Kemirau @ Sang Murba
KEBELAKANGAN ini tidurku kerap terganggu. Sekembali dari Gunung Ledang tempoh hari, aku kerap meracau. Bayangan gadis yang kulihat di jendela rumah agam di kaki gunung itu seperti mengekoriku.
“Bagaikan dia ingin menyatakan sesuatu,” lintas hatiku.
“Apa yang kamu menungkan tu Man?” teguran emak mengejutkan aku daripada lamunan.
“Beberapa hari ini, emak lihat kamu asyik meracau sewaktu tidur. Apa yang mengganggu fikiran kamu?” tanya emak lagi.
Menurut emak, akhir-akhir ini aku lebih banyak berdiam diri. Tidak seperti selalunya - seorang yang periang dan sering bercanda dengan emak, ahli keluarga dan sahabat di kampung.
“Saya baik-baik saja. Usahlah emak risau,” aku meyakinkan.
“Itulah kamu, bila emak tanya sikit kamu angkat kaki,” getus emak bila melihat aku beredar sambil menggalas kandar buluh.
Seperti biasa di subuh dini aku ke perigi membersihkan diri dan mengandar dua baldi air untuk dipenuhkan ke dalam tempayan. Menggelatuk dek dingin pagi bagaikan suatu bentuk riadah mikro bagi sendi-sendi tubuhku. Anehnya kesejukan akan hilang sekelip mata sebaik sahaja air perigi mencurah di badan.
“Air perigi itu banyak khasiatnya. Kalau demam, teguklah airnya insya-Allah kebah.” Aku teringatkan kata-kata pak lang.
Pak lang sepupu emak mengusahakan sawah kami, juga merupakan seorang tukang ubat. Serapah beliau hanya menggunakan ayat-ayat suci al Quran. Ditiupkan pada air perigi yang kami ambil di pangkal pokok sepam. Airnya jernih kebiru-biruan dan kaya dengan mineral. Sumurnya tidak pernah kering walaupun di musim kemarau!
“Buat apa tu Man?” sapa pak lang yang sedang menolak basikal tuanya mendaki halaman rumah kami.
“Saja duduk-duduk ambil angin di sengkuap ni pak lang,” balasku ringkas. Fikiranku kosong sebentar.
“Abang Husin, tolong tengokkan dak Man ni. Sehari dua ini asyik termenung saja,” emak mencelah dari arah belakang.
“Sejak pulang bersama kawan-kawan sekampusnya mendaki Gunung Ledang minggu lepas, tidak semena-mena dia jadi pendiam.”
“Aduh… celoteh emak panjang lebar bikin aku rimas betul!” bentak hatiku dalam diam.
“Tempat itu bersih suci. Tidak boleh buat sembarangan. Kita mesti menghormati semua makhluk yang Allah SWT jadikan. Mereka berkampung, beranak pinak di situ,” ujar pak lang panjang lebar.
“Tak adalah pak lang. Kami faham semua tu. Pensyarah kami telah berpesan macam-macam. Jaga adab di hutan.”
“Habis tu apa yang tidak kena dengan anak saya ini bang?” Emak tidak dapat menyembunyikan keresahannya.
“Jangan risau Senah. Nanti aku pulihkan budak Man ni. Tolong tinggalkan kami berdua sekejap.”
Setelah diceritakan apa yang kulihat di jendela rumah agam tersebut, pak lang menyingkap kembali kisah yang berlaku lebih lima puluh tahun lalu. Menurutnya, misteri ini sentiasa bermain di mulut penduduk setempat namun setelah beberapa dekad senyap begitu sahaja. Tiba-tiba muncul semula sebaik aku terpandangkan kelibat bayangan gadis berambut ikal itu.
“Pak lang pernah bekerja di kaki gunung tu.”
“Di rumah agam tu?”
“Berdekatan kawasan itulah. Sewaktu kami memerun hutan membuka ladang getah di Asahan, pemilik ladang berbangsa Inggeris sudah lama meninggalkan rumah itu.”
“Sayang ditinggalkan begitu sahaja. Cantik seni binanya.”
“Cantik lagi seni bina rumah Melayu kita Man,” pintas pak lang. Aku sedikit tersentak. Betullah kata pak lang. Aku akui kebenarannya. Rumah Melayu sarat dengan falsafahnya. Melestarikan alam sekitar, pintar dan penuh berseni di setiap sudut rekaannya.
“Sebaik tentera Jepun mendarat di Tanah Melayu pada 8 Disember 1941 dan kemudiannya menumpaskan British, pemilik ladang berbangsa Inggeris turut bercempera lari pulang ke England,” kupas pak lang bak seorang sejarawan.
“Kamu tahu apa jadi seterusnya kepada kebanyakan ladang getah mereka?” Aku ternganga dengan pertanyaan yang tidak diduga sama sekali.
“Apa yang terjadi pak lang?”
“Hak milik tanah telah ditukarkan kepada pemandu mereka. Misalnya di ladang Gading, tidak semena-mena Kin Dian dapat ladang beratus-ratus hektar,” tambahnya lagi.
Selama ini puas aku memikirkan bagaimana kaum pendatang sebegitu mudah memperoleh tanah ladang seluas-luasnya. Dasar pentadbiran pecah dan perintah oleh British banyak menyisihkan anak-anak peribumi. Mereka dibiarkan terus hidup dalam serba kedaifan. Sekolah mubaligh seperti St David, St Francis Institution, Infant Jesus Convent, Katholik, Canossa Convent, semuanya dibina di tengah bandar. Pada era British, tiada sebuah sekolah pun di bina di Alor Gajah, Masjid Tanah, Pulau Sebang, Merlimau mahupun Jasin.
“Haa… tengok tu termenung lagi.” tegur pak lang sambil menepuk bahuku.
“Pernahkah pak lang mengalami apa-apa pengalaman menakutkan semasa bekerja di situ?”
“Tidak pula. Bagaimanapun kawan baik pak lang, Pak Agus ada menceritakan kisahnya.”
“Apa yang dikhabarkannya?” Aku seakan mendesak.
“Pak lang tak berapa ingatlah Man. Sudah lama sangat.”
Aku mencurigai jawapan yang diberikan oleh pak lang. Pasti ada sesuatu yang ingin disembunyikannya daripadaku.
“Baik kamu jumpa Pak Agus di Kampung Chinchin sana.”
“Terima kasih pak lang.” Aku terus bergegas ke rumah Amir.
“Man, Man… budak ni. Belum habis cakap, dia dah cabut.”
Keesokannya, aku dan Amir ke Kampung Chinchin mencari rumah Pak Agus. Kami menyusuri empangan Durian Tunggal menghala ke arah Kesang Tua dengan Honda C 50. Motorsikal lama peninggalan ayah Amir semput setiap kali mendaki bukit di sepanjang perjalanan. Sahabat di kampung memanggilnya ‘Honda Cerek’. Aku pun tidak pasti apa kaitannya dengan cerek.
Setelah bertanyakan orang kampung, kami telusur denai berlopak menuju ke rumah Pak Agus yang terletak di pinggir Tasik Biru, sebuah bekas lombong. Dari kejauhan tasik kelihatan berpendar-pendar dek panahan matahari pagi. Di sana sini ikan lecap-lecup menangkap belalang yang terbang rendah di permukaan air.
“Subhanallah, sungguh indah alam ciptaan-Mu ya Allah.” Aku terkesima melihat panorama di seputar Rumah Ba’anjung Dua milik Pak Agus.
“Jemputlah naik ke anjung ni,” pelawa Pak Agus sebaik menjawab salam kami.
“Apa hajat anakanda berdua ni?” tanya Pak Agus setelah kami memperkenalkan diri masing-masing.
“Pak lang Husin mencadangkan kami bertemu Pak Agus.”
“Oh Pawang Husin… lama sungguh tak nampak batang hidung dia. Apa khabar agaknya?”
“Pak lang sihat-sihat sahaja Pak Agus. Beliau kirim salam.”
“Wa’alaika wa’alaihissalam. Apa kisahnya Pawang Husin suruh berjumpa Bapak?”
“Segalanya tentang emas, Aiman,” jelas Pak Agus usai aku menyatakan tujuan menemuinya. Kami berdua agak terkejut.
“Apa yang kamu hairankan? Buka buku sejarah,” tambahnya setelah melihatkan reaksi kami.
Sambil menghalakan pandangan ke arah Tasik Biru, beliau menyambung ceritanya, “Ptolemy menyebut Tanah Melayu ini sebagai Chersonesus Aurea yang bermaksud Semenanjung Emas.”
“Benar Pak Agus. Beliau catatkan dalam bukunya, Geographia,” sampuk Amir.
“Diterbitkan sejak tahun 150 Masehi lagi,” tambahku.
“Manakala dalam kitab Ramayana, Tanah Melayu disebut Suvarnabhumi atau Suvarnadwipa dalam bahasa Sanskrit. Manakala orang Arab pula menyebutnya sebagai Suwarandib. Kesemua nama-nama ini memberi makna yang sama iaitu Semenanjung Emas,” terang Pak Agus panjang lebar bagaikan seorang Sejarawan tersohor.
“Apakah kaitan emas dengan gadis berambut ikal di jendela rumah agam tu Pak Agus?” aku memintas dengan tujuan menamatkan ‘kuliah sejarah’ yang diberikannya.
“Bersabar Aiman. Bapak akan ceritakan satu persatu kisah Alice.” Amir menguis kakiku sambil memberi isyarat agar jangan diganggu Pak Agus bercerita.
“Selama ini Inggeris telah menipu kita. Dalam peta mereka catat lombong bauksit. Walhal sebenarnya lombong emas.”
Aku dan Amir ternganga mendengarnya!
“Kamu lihat peta Daerah Jasin ini. Lebih sepuluh bekas lombong di sana sini. Malah dalam kitab kuno Yahudi turut mencatatkan Mount Ophir iaitu Gunung Ledang sebagai lubuk emas,” sambung Pak Agus bersemangat.
“Pedagang China memanggil Gunung Ledang sebagai Kim Sua, juga membawa maksud Gunung Emas,” Amir mencelah sambil menjelingku. Berlagak pula dia.
“Wah pandai pun kamu. Bapak berasa bangga bila anak muda faham dan menghayati sejarah bangsanya.”
“Bila Pak Agus hendak memulakan kisah gadis di rumah agam tu?” Aku bertanya dalam hati.
“Apa yang kamu gelisahkan tu Aiman? Bersabar. Selepas solat zohor dan makan tengah hari nanti, kita bergerak ke sana. Bapak akan ceritakan hal yang terjadi.”
“Pak Agus ini kasyaf ke?” detak hati kecilku. Aku tertunduk malu. Amir pula tersengih melihatkan gelagatku.
Pak Agus berketurunan Melayu Banjar dan berasal dari Sambas, Kalimantan Barat. Menurutnya, semenjak tahun 1850-an lagi kaum Cina di Sambas telah mendulang emas bersama peribumi di Bau, Sarawak. Bagaimanapun, penjajah James Brooke bersama orang-orangnya telah menewaskan mereka dalam pertempuran merebut wilayah tersebut yang kaya dengan emas. Sehingga kini Bau cukup terkenal dengan perlombongan emas.
Petang itu, kami bertiga ke rumah agam menaiki Morris Minor 1000 Traveller 1967 milik Pak Agus. Kereta meluncur laju ke arah Asahan. Sesekali terhenjut-henjut juga tatkala melepasi bonggol jalan kampung. Tiba-tiba aku rasa seperti tidak sedap badan.
Jantungku berdegup kencang sebaik kereta diberhentikan di bawah pohon ceri di halaman yang dipenuhi semak samun. Aku menjeling ke arah jendela di tingkat atas.
“Jom ke bahagian belakang rumah.” Amir dan aku saling berpandangan. Kecut perut melihat rumah diselaputi rimbunan pokok.
“Apa yang hendak kamu takutkan? Anak jantan pantang kecundang di luar gelanggang. Lihat bawah pokok Karas tu.”
“Apa yang ada di situ Pak Agus?”
“Mayat Alice dan kekasihnya Othman ditanam di situ.”
“Biar betul Pak Agus… Angkara siapa semua ini?”
“Bapa Alice tidak boleh terima hakikat anak gadisnya bercinta dengan pemuda Melayu.”
“Siapa Othman tu?” tanya Amir setelah membisu sejak tadi.
“Anak seorang buruh ladang. Tetapi pandai orangnya. Belajar di Malay College.”
“MCKK?” Amir mencari kepastian.
“Habis tu kamu ingat JKKK?” balas Pak Agus berseloroh.
Berderai ketawa kami bertiga. Hilang seram sekejap. Tidak disangka-sangka yang Pak Agus pandai bercanda orangnya. Seketika itu juga Amir perasan yang aku sudah boleh tergelak semula.
“Macam itulah Man, ceria seperti dulu.”
“Kenapa pula dia marah sangat dengan Othman? Orang muda saling mengasihi itu biasalah. Cinta itu buta.” Aku berfalsafah.
“Melalui Alice, suatu hari Othman dapat tahu kegiatan rahsia di lombong. Inggeris memunggah emas semahu-mahunya!”
Menurut Pak Agus, pertengkaran malam itu berakhir dengan tragedi yang menyayat hati. Alice terbunuh oleh peluru bapanya sendiri ketika cuba melindungi Othman. Dalam kekalutan itulah beberapa das tembakan lagi dilepaskan ke arah Othman.
Keesokannya tentera Jepun mula memasuki Tanah Melayu di Kelantan. Sementara itu Singapura telah jatuh ke tangan Jepun. Inggeris cabut lari. Dalam tergopoh-gapah melarikan diri itulah mayat kedua-dua kekasih tersebut dikambus begitu sahaja.
“Patutlah emak pernah bercerita bahawa deretan gerabak kereta api tersadai di landasan di kampung kami sebaik Jepun menguasai Tanah Melayu,” aku menerawang.
“Apa yang dimenungkan tu Man. Jom kita jengah masuk,” jerkah Pak Agus sambil bergerak ke bahagian dalam rumah.
“Nanti… nanti… Adakah mayat mereka masih tertanam di sini?” Terpacul pertanyaan daripada Amir dalam nada terketar-ketar.
“Man… jangan tinggalkan aku seorang diri di luar ni!” Amir berlari mengejar mereka yang telahpun naik di tingkat atas.
Amir mula terasa seram sejuk. Dia gagahkan diri menaiki tangga kayu. Bunyi tapak kaki Aiman dan Pak Agus semakin lenyap.
Ketika Amir menjenguk bilik tidur Alice, dilihatnya Aiman sedang terpaku di hadapan cermin solek. Sementara itu mulut Pak Agus terkumat-kamit membaca sesuatu. Amir terjerit bila melihat ada wajah gadis berambut ikal berbalam-balam di dalam cermin yang berdebu. Serentak itu gramaphone mengumandangkan lagu klasik ‘Falling in Love Again’ nyanyian Marlene Dietrich di bilik utama.
Mereka bergegas turun.
“Masuk ke kereta cepat!” arah Pak Agus.
Enjin kereta pula tidak mahu hidup. Hari semakin menjelang senja. Tiada satu pun kenderaan yang lalu lalang. Akhirnya setelah berjalan kaki ke jalan besar, mereka tumpang lori getah pulang ke Rumah Ba’anjung Dua. Dari atas lori, Amir menoleh ke arah rumah agam namun terlindung oleh pokok-pokok getah tua yang menunggu masa untuk ditebang.
“Tahukah kamu semua kenapa kereta rosak? Pelbagai gangguan lagi…” Pak Agus membuka bicara.
“Ujian Allah SWT,” balasku.
“Benar Aiman. Allah SWT mahu kita kembali kepada-Nya. Bukannya dikuasai oleh anasir lain yang juga bersifat makhluk.”
“Dek terlalu asyik mahu merungkaikan belenggu misteri, kita sampai terlepas solat asar” ujar Amir penuh kesal.
Sejak itu aku dan Amir kembali fokus kepada pengajian kami dalam bidang mineralogi di USM. Lebih baik kami tumpukan kepada pencarian jajaran emas berbanding kisah mistik yang sia-sia.
Rumah Di Jalan Mati - Short Scary Stories
Komentar
Tulis komentar baru