Skip to Content

PERIGI SEBUN

Foto Kemirau

PERIGI SEBUN

 

KEMARAU berpanjangan menyebabkan empangan Durian Tunggal yang dibina pada tahun 1974, kering-kontang. Fenomena yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Lori tangki kelihatan sibuk sekali membekalkan air bagi keperluan asas penduduk.

            “Nampaknya kita kena gali semula perigi. Sampai bila hendak jadi macam ‘ni?” aku melontarkan cadangan.

            “Bila ‘nak mula?” ujar Basran penuh bersemangat.

            “Esok awal pagi kita turun.”

            “Kita berdua ‘je?”

            “Tidak perlu tunggu orang lain. Jika ada yang sukarela hendak membantu, alhamdulillah.”

            Keesokannya, awal-awal pagi lagi kami telah bertungkus lumus menggali semula perigi lama yang telah sebun. Kami bergilir-ganti turun untuk mengorek dasar telaga dan menarik baldi berisi tanah, kerikil, dan pasir dari atas tebing.

            “Itu ha Dak Ben naik motor ke hulu ke hilir dengan tunang dia!” tempik Basran sambil menunjuk ke jalan kereta api lama.

            “Pedulikan dia,” celah Abang Abu yang baru terpacul.

            “Kamu naik, biar abang turun pula,” sambungnya lagi.

            Tanpa berlengah aku pun meloncat naik ke atas tebing perigi. Syukur alhamdulillah. Beberapa mata air mula terbit dan memancut. Makin lama semakin laju. Kembang hati kami melihatnya.

            Alhamdulillah, akhirnya suasana di perigi tersebut rancak semula setelah digunakan oleh jiran terdekat. Seingatku perigi itu digali menjelang majlis perkahwinan kakak sulongku pada tahun 1973 lagi. Cukup banyak berjasa sehinggalah dilupakan dan terbiar sepi setelah kampung kami memperoleh bekalan air paip pada tahun 1979. Ibarat kacang melupakan kulit. Takdir Allah SWT, akhirnya kami menyasar mencari sumber air kala kemarau berpanjangan.

            Seawal pagi masing-masing mengangkut air. Matahari naik nanti, air perigi sudah jauh ke bawah.

            “Sudah berapa kandar angkut air ‘ni?” aku menyapa Dak Lah adik Basran. Kejelitaan gadis desa jelas terpancar di wajahnya.

            “Baru tiga kali,” balasnya tersenyum simpul.

            “Siapa awek yang basuh kain baju ‘tu?”

            “Oh, pembantu rumah Kak Che’ Endah. Orang seberang.”

            ‘Patutlah Dak Ben dan Dak Fadhil bukan main rajin turun naik mengangkut air. Masa menggali telaga, muka langsung tak nampak,’ bisik hatiku.

            Perigi di kampung sebenarnya adalah milik orang ramai. Justeru, sesiapa pun boleh menggunakannya. Tidak kiralah sama ada mereka bergotong-royong menggalinya ataupun tidak.

            Banyak kenangan manis di perigi sewaktu kecilku. Pada pagi raya, awal-awal lagi kami telah beratur bergilir-ganti mandi. Tanpa mengira jantina. Siapa cepat dia dulu. Anehnya, tidak pula terdengar kejadian kurang manis seperti mencabul berlaku!

 

JUAL IKAN NAIK SCRAMBLER

 

MASIH segar dalam ingatanku krisis air paling teruk dialami oleh seluruh penduduk negeri Melaka pada tahun 1991. Betapa sukarnya kehidupan tanpa air bersih. Ironinya empangan Jus hanya siap dibina pada tahun 2003 bagi menampung keperluan masyarakat dan industri. Setelah 73 tahun empangan Asahan dibina pada era British.

            “Jom pergi tangkap ikan di kolam Machap,” ujar Amran.

            “Nanti kita jual keliling kampung,” pujuknya lagi.

            Tanpa berlengah lagi kami menonong bergegas ke sana dengan motorsikal scrambler Yamaha DT125. Mengaum bunyi ekzosnya kala mendaki Bukit Tambun meninggalkan kepulan asap. Motorsikal dulu guna minyak 2T, enjinnya dua stroke.

            “Alamak, habis ‘dah kerumun dek orang!” getus Amran sebaik menongkat scrambler kesayangannya di pinggir kolam.

            “Lopak air sudah jauh ke tengah, macam mana ‘ni?”

            “Kita tunggu mereka naikkan ikan,” aku menenangkan.

            “Kita pukul harga,” tambahku lagi.

            “Wah, tak sangka jadi peraih pula kita!” Amran teruja.

            Kami tersengeh. Entah apa yang mencuit hati pun tak pasti. Setelah puas berunding dengan seorang penangkap ikan yang berselumus lumpur, kami bawa pulang dua ekor ikan kap kepala besar. Syukurlah kami dapat harga yang cukup murah. Lenguhlah juga aku menggendongnya di riba. Setibanya di rumah emak, tanpa berlengah kami siapkan peralatan menyiangnya. Ikan diletakkan di pangkin bawah pokok manggis yang kubuat sendiri menggunakan kayu palet gandar kabel. Tempat santai kala petang sambil meniup seruling.

            “Ambil tali dengan pisau. Bawa lesung batu sekali.”

            “Buat apa guna lesung batu? ‘Nak buat sambal belacan ke?”

            “Senang ‘nak ketuk potong tulang kerasnya nanti.”

            “Guna belakang parang pun boleh.”

            Kami gantung ikan di dahan manggis. Sebaik sahaja ekornya dililis keliling, bercucuran darah ke tanah. Sebaik sahaja darah berhenti memancur, kami turunkan dan hiris berkeping-keping mengikut ketebalan yang seragam. Setelah ditanding-tandingkan, kami jaja sekeping RM2, RM5 dan RM10 mengikut saiz di sekeliling kampung.

            “Ikan, ikan, ikan!”

            “Murah, murah, murah!”

            “Beri aku lima bungkus,” sahut Busu Naim yang mempunyai keluarga yang besar.

            “Aku sebungkus cukuplah. Tinggal seorang diri,” celah Mak Andak Bi pula.

            “Sa’ari tak balik ke Mak Andak?” aku bertanyakan rakan sekelasku semasa di sekolah rendah dulu.

            “Dia sibuk bekerja di Kelang ‘tu.”

            “Wah, goreng pun sedap ‘ni!” sampuk Pakcik Noh Tompel.

            Jual ikan di jalan kereta api lama memang mengujakan. Apa tidaknya. Rumah mereka rapat-rapat. Seorang keluar membeli, yang lain semua terjongol muka. Tidak sampai pun sejam, jualan kami laris semuanya. Alhamdulillah, bersyukur kepada-Mu ya Allah.

            Malam itu, aku menumpang mandi di perigi nenek Amran. Airnya biru. Ada ikan kaloi di dalamnya. Seingatku, perigi tersebut sudah pun wujud semenjak aku lalu-lalang pergi dan balik sekolah rendah di denai baruh Pak Man Karjan.

            “Awak tidur di rumah saya malam ‘ni,” pinta Amran.

            “Saya kena baliklah. Esok awal pagi ‘nak kerja. Sudahlah guru sandaran, takkan ‘nak buat hal pula.”

            “Kita relaks dulu. Minum kopi sambil layan lagu Iklim,” pandai sekali Amran memujukku.

            “Awak ada beli kaset album baru Bulan Jatuh Ke Riba ke?”

            “Ada, tapi saya rasa album pertama lagi menyengat.”

            Lagu ‘Suci Dalam Debu’ memang berhantu. Menjadi kegilaan di seluruh pelosok Nusantara. Perhatikanlah stanza pertamanya:

Engkau bagai air yang jernih

Di dalam bekas yang berdebu

Zahirnya kotoran itu terlihat

Kesucian terlindung jua

 

            Segalanya berkait dengan air. Dalam surah An Nur ayat 43, Allah SWT telah perincikan proses turunnya hujan secara saintifik. Bermula dengan perarakan awan-gemawan hingga ke titisan air.

 


Boleh Saya Menumpang Mandi - Heartwarming Stories of True Friendship

Authors
MN Mahmud, M Musip, AH Musa, ANM Bachok, A Salim, A Tambi, YC Daniel Lu, NH Kaderan, F Darini, NH Md Noor, L Timbun, NMK Moktar, NFK Shah, N Churaimi, NA Muhammad, NA Azali, NIA Abdullah, RM Noor, S Simon
Publication date
2022/2
Pages
117 (ISBN 978-967-2891-99-4)
Publisher
SYFE Management Sdn Bhd


Komentar

Tulis komentar baru

Materi isian ini bersifat rahasia dan tidak ditampilkan ke publik.


Terpopuler Hari Ini

Sebulan Terakhir

Terpopuler