Skip to Content

PUISI-PUISI ALAM SEKITAR

Foto Kemirau

USAH DITANYA SAMPAH SIAPA

 

Apakah lantaran ada pengutip sampah

justeru kalian buang sesuka hati

baik di pasar malam mahupun di pasar tani

peniaga buang sampah membenar diri

pengunjung buang sampah bijak berperi

”ada yang akan mengutipnya nanti!”

 

Kulihat di Melaka Sentral

pemandu bas muncungnya berasap

dia bilang agar kantuknya hilang

memandu nanti bas tidak huyung-hayang

serombong penumpang berasap sama

menyedut rakus lalu dihembus lega

bas mahu jalan rokok tak sempat dihabiskan

tong sampah berasap puntung dicampakkan

ada yang laksana menari twist

puntung digesek tumit lalu dikuis.

 

Kita bilang Melaka Pintar, Hijau dan Bersih

kucari makna di seputar cakna slogan berperi

kutemui pepuntung berapi berasap di sana sini

sampah sarap bertabur tanpa segan dan silu

dari Jonker Street, Krubong ke Belimbing Hulu.

 

Usah kalian bertanya sana sini sampah siapa

tabiat hodoh serlahkan siapa sampah sebenarnya!

 

Melaka Sentral 2019

 


DI LAMPU ISYARAT

 

Di lampu isyarat Simpang Ampat

kulihat penunggang kapcai Honda EX5

di sebelahnya Kawasaki Ninja ZX-25R

terjepit di celah jari berasap berapi

muncung serombong berasap berperi

dijentik puntung di aspal jalan

tong sampah tak ketemuan!

 

Di lampu isyarat DRB Hicom

kulihat pemandu mobil layap luncung

tingkapnya separuh terbuka berdekah tawa

muncung cerobongnya berasap akal lesap

dijentiknya puntung tidak beradab.

 

Di lampu isyarat Ayer Pa’abas

kulihat pemandu lori kargo 6 tayar 10 tan

menyalakan muncung rokok bersambung

dijentiknya puntung terbang melambung

tersentak sepasang burung tiung.

 

Di lampu isyarat Kampung Jelatang

kulihat seorang buruh kontrak pembersihan

menyapu pepuntung yang berserakan

dijentik saban hari perokok tegaran

yang akalnya lesap berantakan.

 

Lebuh AMJ 2019



SELAT KAMI SEMPIT

 

Pantai kami lenyap dalam terang

pasir memutih ditambun malam dan siang

kondominium tercacak besar gadang

semuanya milik orang dagang.

 

Ekonomi pasaran bebas tamak haloba jadi asas

peduli apa pada Sang Murba semua kalian kebas

YB berapa persen laba hidup rakyat terus ditindas

Melaka Gateway koloni mana hak pribumi dicantas

Melaka Maju siapa punya mahu kaya jalan pintas.

 

Nelayan tak bisa lagi melanggai geragau

lenyap sudah senda gurau.

Selat kami sempit nelayan kami sakit

hidup kian perit menghimpit.

 

Puisi ini kubait aksara kukait

bentuk figura perut buncit

pembesar akalnya kincit.

 

Klebang – Ujong pasir, Ramadan 1441 Hijri

 

 

MEMANDANG PULAU

 

Menghadap pulau di jebir Selat Melaka

ku telusuri dengan Suzuki RGV JEQ 2695

tinggalan ayahanda pandangan mata

mengubat rindu kasih ibunda.

 

Memandang pulau hatiku galau

di panas terik memancar silau

jaring bercarik nelayanku gagau

selatku sempit ke mana geragau?

 

Marhaen hidup getir kais pagi kais petang

digagahi meski tersengkang pahit lepang

jenuh lebong YB janji manis leting

JKKK/MPKK asyik cekcok cah keting.

 

Hatten/Harbour City tersergam gadang

Melaka Gateway milik orang dagang

nelayan Portugis tercengang-cengang

getus radang loghat Kreol Kristang

apatahnya Selat Melaka penuh berselut

manakan bisa perahu disorong ke laut.

 

Pohon bakau bongkas ombak menghempas

“pembangunan lestari” air liur bertempias!

 

Pantai Siring – Ujong Pasir – Sanggar PKPB Jun 2020

 


SUNGAI MELAKA NAN CANTIK MOLEK

 

Sungai kami molek memukau mata

tata rias pinggirannya digubah penuh cakna

menyebar benih dari Taman Seribu Bunga

membangkit sedar warga alam dipugar

agar flora dan fauna hidup segar bugar

sketsa mural warna-warni di sini sana

tanganan seni jiwa raga anak bangsa.

 

Sungai kami cantik mempesona sekali

heboh dicanang pembangunan lestari

mapan dalam kepelbagaian biologi

cuma sayang sekali baunya mahing

apatahnya tak betah bergerak seiring

sisa industri tidak dirawat disaring.

 

Revolusi Industri IR 4.0 dikecoh sakan

teknologi terkedepan sewajarnya diterapkan

bak Sungai Cheonggyecheon di Korea Selatan

Sungai San Antonio di Texas yang diteladani

ikan dan itik berenang ke sana ke mari

airnya jernih baunya harum bak setanggi.

Sungai Melaka kami nan cantik molek

masih perlu diperbaik usahlah berdolak-dalik

air sungai di Malim mengalir dari Batu Berendam

apa berlaku di hilir adakalanya kusam pekat hitam?

 

Sungai Melaka – Sanggar PKPP Jun 2020

 

Ruang Bicara 2 - A Poetry Anthology
Authors
M Musip, SA Aziz, MN Mahmud, AF Mohd Fuzi, E Alias, HS Ismail, H Jamin, H Muin, H Daud, K Murugiah, KK Mazlan, M Mohd Ani, M Supa'at, MA Abd Rahman, MI Maarof, NA Zakaria, MA Mat Salleh, N Mohd Subari, N Omar, NR Siren, NA Zakaria, NIA Abdullah, SN Sarif, R Ignacy, S Abd Hamid, R Karno, R Abdul Razak, RH Ismail, SR Abu Aziz, S Muhamad, S Salim, Z Kassim, Z Zainudin
Publication date
2021/10
Volume
2
Pages
224 (ISBN 978-967-2316-52-7)
Publisher
WACANA MBM

 

 

Komentar

Tulis komentar baru

Materi isian ini bersifat rahasia dan tidak ditampilkan ke publik.


Terpopuler Hari Ini

Sebulan Terakhir

Terpopuler