Skip to Content

SILIR-SEMILIR DI PULAU SAMOSIR

Foto Kemirau
files/user/8710/Huta_Bolon_Simanindo.jpeg
Huta_Bolon_Simanindo.jpeg

SILIR-SEMILIR DI PULAU SAMOSIR

 

SEAWAL pagi aku telah pun bergerak ke TBS menaiki bas di Melaka Sentral. Masih segar lagi dalam ingatanku, pada hari itu Isnin 17 September 2018 tepat jam 09:02, pemandu Grab mengambilku di TBS-BTS, Jalan Lingkaran Tengah 2 menuju ke Subang Skypark. Aku ke 8th ICTAP, Medan pula! Persidangan berlangsung dari 20-21 September 2018.

            Seperti kembara ilmu yang lalu, aku menggunakan wang sendiri kurang lebih RM3000 menampung yuran persidangan, tiket pesawat, hotel, makan minum dan sedikit cenderamata untuk anak-anak dan sahabat. Aku tidak merokok. Mereka yang merokok boleh saja hitung wang yang dibazirkan. Jika sehari sekotak, kosnya ialah RM18 x 30 hari x 12 bulan = RM6480 setahun. Berhentilah.

            “Kalian bertiga sahaja,” ujar pramugari Malindo Air.

            Aku bersama dua penumpang wanita saling berpandangan.

            Penerbangan sehala ke Sisingamangaraja XII Airport, Silangit mengambil masa satu jam setengah. Berlepas dari Subang Skypark jam 13:45 dan dijangka tiba di sana jam 14:15.

            Setelah beberapa kali menaiki pesawat, inilah julung kalinya pramugari tidak berceloteh menunjukkan cara memakai topeng keselamatan jika berlaku kecemasan. Aku berpura-pura tenang.

            “Ibu mahu pulang ke mana?” sapaanku kepada wanita separuh umur. Di sebelahnya, gadis berusia awal 20-an melempar senyum.

            “Berastagi,” jawabnya rigkas.

            “Bapak mahu ke mana?”

            “Ke Pulau Samosir.”

            Selesai urusan di bandara, aku terus mendapatkan kereta sewa untuk ke Parapat. Alhamdulillah, aku dipertemukan dengan Pak Limbung yang ramah sekali. Aku duduk di sebelahnya. Kami berceloteh panjang. Perjalanan mengambil masa kira-kira dua jam.

            “Di sebelah kanan itu Kecamatan Siborongborong terletak di Kabupaten Tapanuli Utara. Alamnya masih asri,” ujar Pak Limbung penuh bersemangat bagaikan pemandu pelancong.

            Kami berhenti menjamu selera di Rumah Makan Muslim Pak Wahyu di Porsea. Masakannya enak sekali. Bebek bakar, lalapan, sambal belacan dan cah kangkung.

            “Apa nama kota kita lewati tadi pak?”

            “Oh, Balige.”

            “Apa yang istimewa sekali di situ?”

            “Air terjun Siboruon, pantai air tawar Bulbul, makam Raja Sisingamangaraja XII.”

            Dari Porsea ke Parapat, kami melalui jalan tanah tinggi yang berbelok-belok. Cuacanya cukup sejuk dengan hujan renyai-renyai. Separuh perjalanan, Pak Limbung berhenti di tepi jalan untuk buang air kecil, manakala aku muntah belalah. Setibanya di Parapat, hari menjelang senja. Aku membeli tiket feri untuk ke Pulau Samosir. Dalam gelap gelita malam aku menyeberangi Danau Toba.

            Dalam feri fikiranku menerawang. Teringatkan perbualan mesra bersama Pak Limbung sore tadi.

            “Saya Batak Mandailing. Ada enam lagi etnik Batak lainnya. Simalungun, Karo, Pak-Pak, Toba, Sibolga dan Angkola.”

            “Kita satu rumpun Melayu,” ujarku meyakinkan.

            “Ya, kami Melayu Batak,” balas Pak Limbung yang menganut Islam. Menurutnya lagi, “Lebih 95% etnik Mandailing dan Angkola beragama Islam. Manakala lebih 70% etnik Toba beragama Kristen.”

            Lamunanku terhenti apabila ditegur oleh Pak Freddy. Beliau bersama isterinya cukup mesra. Malah sanggup menghantarku dengan skuternya ke hotel penginapan. Keesokannya, aku meronda hampir suku pulau yang berkeluasan 627 kilometer persegi dengan skuter Pak Freddy. Wah, pemandangan danau nan memukau!

            Di sana sini kelihatan tugu marga yang melambangkan hamoraon, hasangapon, dan hagabeon. Binaan unik ini manifestasi penghormatan oleh para perantau kepada leluhur mereka. Di muzium Huta Bolon Simanindo, aku merakam pelbagai motif ornamen Batak pada binaan ikonik mereka yang berbentuk kapal itu.

            Kumpulan muzik di hotel sedang bertualang di Germany. Malam terakhir, aku pinta bantuan seorang karyawan di situ.

            “Di mana saya boleh beli DVD lagu-lagu Batak?”

            “Di pekan Tomok. Mari saya hantarkan.”

            “Berapa jauh pak?”

            “Lumayan juga.”

            Pemilik kedai muzik menawarkanku untuk memuat turun pelbagai lagu Batak nan mendayu-dayu.

            “Berapa ongkosnya pak?”

            “Dua puluh ribu saja.”

            Esoknya sebelum bertolak ke Medan, aku pusing-pusing sekali lagi dengan skuter Pak Freddy. Singgah di sebuah kedai kecil yang dikendalikan oleh seorang ibu tua bersama anak gadisnya – graduan Universitas Sumatera Utara dalam bidang Matematika Terapan. Sehingga kini aku masih terbayang-bayang mata sayunya yang menaruh harapan agar anaknya beroleh pekerjaan yang baik.

            Sementara menunggu kereta sewa ke Medan, aku menghirup kopi Parapat. Terangkat! Sempat beli sekilogram bawa pulang. Akhirnya, sebuah MPV Proton Exora menjemputku.

            “Siapa namanya pak?”

            “Bangun.” Aku agak terkejut. Selepas melewati deretan kedai, aku ditinggalkan termangu-mangu dalam MPV. Pemandu tadi lesap. Sekonyongnya, terpacul pemandu lain mengambil alih stereng.

            “Liburan pak?”

            “Ada persidangan di Medan. Saya Nasir, siapa nama bapak?”

            “Manik.” Aku sembunyikan rasa hairan.

            Perjalanan sejauh 165 km dari Parapat ke Medan melalui jalan tol di Tebing Tinggi. Di kiri kanan kelihatan ladang karet yang terurus dengan baik sekali. Jalan molek landai berbanding dari Silangit ke Parapat yang merupakan jajaran tanah tinggi.

            Aku menginap di The Batik Hotel dari 19-22 September, 2018. Sebelum tidur malam itu, aku menyorot kembali hal siang tadi.

            ‘Ya Allah, aku telah mengguris hati Pak Bangun! Barangkali beliau terasa hati tatkala aku menunjukkan reaksi terkejut mendengar namanya.’ Bisikan hati ini bermain-main di mindaku.

            Sejak itu aku lebih berhati-hati. Sewajarnya aku membuat sedikit carian di internet berkenaan nama penduduk lokal dan budaya setempat. Teringat akan kenalanku pensyarah UiTM, terkekeh-kekeh ketawa bercerita tentang nama-nama seperti Ketut, Wayan dan Komang semasa di Bali dulu. Apa anehnya?

            Carian di internet menunjukkan awalan nama masyarakat Bali merupakan penanda urutan kelahiran anak pertama hingga keempat. Misalnya Wayan, Putu, Gede adalah awalan nama anak pertama. Made, Nengah, Kadek pula awalan nama anak kedua. Manakala Nyoman, Komang adalah pangkal nama anak ketiga. Ketut pula merupakan pangkal nama anak keempat. Unik bukan?

            Di Borobudur dulu, aku mengenali Mudah yang cantik jelita dari Banjarmasin dan Pak Bochek dari Nusa Tenggara Timur. Tiada anehnya. Meskipun kita lebih terbiasa dengan nama-nama seperti Midah, Hamidah, atau Bachik.

            “Mau ke mana pak?” sapa Pak Khairuddin Siregar.

            “Grand Inna Medan.” Kutahan nafas, mobil tepu asap rokok.

            ‘Apakah beliau tidak baca puisi Tuhan Sembilan Senti karya Taufiq Ismail?’ hatiku berkata-kata.

            Pak Siregar bangga bercerita hal anaknya seorang hafiz al-Quran mengajar di Brunei. Dibayar gaji 15 juta Rupiah! Selepas itu aku hanya menggunakan khidmat bentor dan Gojek saja. Serik menaiki GrabCar.

            Hari terakhir sebelum pulang ke tanah air, seawal jam 08:20 Pak Dilfan Martiansyah mengambilku dengan skuternya.

            “Kita pergi makan dulu,” pelawaku.

            Usai makan kami ke Masjid Raya Al Mashun dan Istana Maimun peninggalan Kesultanan Melayu Deli. Air mataku bergenang mengenangkan pembunuhan kaum kerabat Kesultanan Melayu Deli, Langkat, Serdang, Asahan, Kualuh serta Kerajaan Tanah Karo dan Simalungun sekitar tahun 1946. Tragedi yang bertopengkan Revolusi Sosial ini didalangi oleh Napindo, Pesindo, Ku Tui Sin Tai, dan PKI. Istana Kesultanan Melayu Bulongan, Kalimantan pula dibakar dan kaum kerabat dibunuh pada 18 Julai 1964. Sadis nan terancang.

            “Jam berapa pesawatnya?” tanya Pak Bintang Hasudungan Siagian. Aku terpaksa mengambil GrabCar untuk perjalanan jauh. Tambangnya 184,000 rupiah.

            “3.40 petang pak.” Mobil meluncur laju menuju Kualanamu Airport. Kami berbual mesra pelbagai perkara.

            ‘Semoga berjumpa lagi aduhai Samosir, Danau Toba, dan tentunya Pak Bangun. Aku ingin memohon maaf kepadanya.’ Aku mengelamun dalam pesawat. Limbung, Bangun, Manik, Bintang, semuanya nama Melayu. Apa anehnya?


Glosari

Asri

Bentor

Hamoraon

Hasangapon

Hagabeon

Karet

Karyawan

 - semulajadi

 - beca motor

 - kekayaan

 - kehormatan

 - kemuliaan

 - getah

 - pekerja

 

Ku Tui Sin Tai

Napindo

Pesindo

PKI

 - Barisan Harimau Liar

 - Nasional Pelopor Indonesia

 - Pemuda Sosialis Indonesia

 - Partai Komunis Indonesia 

 

 

Boleh Kita Berjumpa Lagi - Heartwarming Stories of True Friendship
Authors
MN Mahmud, M Musip, AH Musa, ANM Bachok, A Salim, NH Kaderan, NM Rashid, KN Husain, L Timbun, NFN Aznan, NFK Shah, N Tompang, NMA Rashid, NB Alta Miah, N Yahaya, NA Muhammad, NHM Fisol, NIA Abdullah, RM Saad, RM Noor, S Simon, S Muhamad, ZC Salleh
Publication date
2022/2
Pages
151 (ISBN 978-967-0013-01-5)
Publisher
SYFE Management Sdn Bhd

 

Komentar

Tulis komentar baru

Materi isian ini bersifat rahasia dan tidak ditampilkan ke publik.


Terpopuler Hari Ini

Sebulan Terakhir

Terpopuler